MOTAC: Eko-pelancongan Sri Aman ke Maludam dibangunkan

Dato Sri Nancy Shukri

KUCHING, 27 Okt: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah mengenalpasti kluster eko-pelancongan Sri Aman-Batang Ai-Ulu Sungai Menyang–Maludam di kawasan Parlimen Lubok Antu.

Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, kluster tersebut mempunyai pelbagai produk menarik seperti Taman Negara Batang Ai, Wong Merah Lubok Antu, Lubok Kasai Nanga Sumpa, Air Terjun Ensulai dan Red Ape Trail.

“Kawasan ini berpotensi dibangunkan secara holistik dan memanfaatkan kesejahteraan komuniti setempat dan penjanaan ekonomi,” katanya sebagai menjawab pertanyaan MP Lubok Antu Jugah Muyang di parlimen hari ini.


Jugah meminta MOTAC menyatakan dengan terperinci pelan yang bakal dilaksanakan untuk menaikkan semula industri pelancongan di Lubok Antu yang pada suatu ketika dahulu merupakan satu destinasi pilihan dalam kalangan pelancong luar negara.

Tambah Nancy, MOTAC kini meneruskan pelbagai program pembangunan kapasiti kepada penggiat-penggiat pelancongan dan komuniti setempat terutamanya yang melibatkan perkampungan rumah panjang di kawasan Parlimen Lubok Antu.

Katanya, ini termasuklah program untuk membangun dan mempromosikan produk kraf kepada pelancong.

Antaranya ialah Program Pengkomersialan Kraf Secara Fizikal dan Digital, Program Reka Bentuk dan Pembangunan Kraf dan Program Kemahiran Komuniti Kraf.

Sehingga 30 Sept ujar Nancy, seramai 17 orang usahawan kraf dan 24 orang tenaga kerja telah dibangunkan di kawasan Lubok Antu dengan nilai jualan kraf melebihi RM169,000.

“Daripada aspek promosi, pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh Pelancongan Malaysia bagi mempromosikan negara termasuk produk-produk pelancongan yang unik di kawasan luar bandar, seperti Lubok Antu melalui program usahasama dengan pengusaha pelancongan antarabangsa.

“Pelancongan Malaysia turut memberi penekanan dalam menggunakan media sosial dan media digital bagi mempromosikan destinasi-destinasi menarik dan unik di seluruh negara,’ katanya.

Bagi negeri Sarawak katanya, antara program terkini adalah penganjuran Webinar 2021 – Destinasi Sarawak Bumi Kenyalang pada 12 Okt baru-baru ini.

“Ia merupakan kolaborasi antara Tourism Malaysia Medan dan Tourism Malaysia Sarawak bersama penggiat industri pelancongan negeri Sarawak.

“Penyampaian maklumat berkenaan produk-produk pelancongan negara di platform digital ini akan membolehkan para pelancong menerima maklumat produk-produk pelancongan yang ditawarkan secara terus dan mudah,” kata Nancy. — DayakDaily