Mordi sangkal khabar angin beliau bakal lompat parti

Mordi Bimol (gambar fail)

KUCHING, 12 Mac: Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol menyangkal khabar angin yang mendakwa beliau bakal melompat parti daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk memberikan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tegasnya, beliau masih teguh bersama DAP dan Pakatan Harapan (PH) dan akan terus bersuara dan berkhidmat untuk rakyat yang beliau wakili terutamanya di kawasan Parlimen Mas Gading.

“Masalah kesihatan sedikit mengganggu prestasi saya tetapi bukan prinsip saya kerana saya terlibat dalam politik bukan atas dasar minat sebaliknya tanggungjawab dan yang menghantar saya ke Parlimen adalah rakyat Mas Gading.

“Saya yakin masing-masing ada alasan sendiri untuk lompat atau kekal dalam parti yang diwakili ketika Pilihanraya Umum (PRU) lalu.

“Faktor utama yang saya lihat menjadi faktor kepada kegiatan lompat parti ini adalah isu peruntukan khas bagi kawasan Parlimen,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sejak dahulu lagi, peruntukan terbabit banyak disalurkan kepada wakil rakyat daripada blok kerajaan namun sebaliknya berlaku kepada wakil rakyat daripada pembangkang.

Situasi itu, dakwa beliau menjadi salah satu modal yang digunakan untuk memancing wakil-wakil rakyat dari blok pembangkang melompat parti mereka dan menyertai atau menyokong kerajaan yang memerintah.

“Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diberi perhatian. Wujudnya kerajaan pintu belakang hari ini adalah kesan daripada sikap segelintir pihak yang pentingkan diri dan tamakkan jawatan sehingga lupa akan nasib rakyat.

“Contohnya di Mas Gading, rakyat kawasan Parlimen ini menjadi mangsa kejadian lompat parti. Lain pihak yang buat hal, lain kawasan yang kena tanggung. Dengan sekelip mata, Mas Gading menjadi kawasan di bawah ahli Parlimen pembangkang dan serta merta peruntukan bagi kawasan Parlimen ini ditarik balik,” katanya.

Mordi berkata, beliau bersama 41 Ahli Parlimen DAP lain akan tetap teguh dalam parti itu walaupun terdapat ketidaktentuan dalam kancah politik negara dan akan terus mempertahankan mandat yang telah diberikan kepada mereka.

Malah beliau turut mengecam tindakkan segelintir wakil rakyat yang melompat parti selain mengangap ia sebagai mencerminkan bukan sahaja ketidakstabilan politik Malaysia malah ketidakstabilan prinsip wakil rakyat pada ketika ini. — DayakDaily