Mordi: Pendaftaran automatik lebih sesuai dilaksanakan sebelum PRU15, bukan PRN12

Mordi (berdiri tiga dari kiri) bersama pemenang Program Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching, Jalan Matang.
Advertisement

KUCHING, Julai 19: Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol berpendapat pendaftaran pengundi berusia 18 tahun ke atas secara automatik lebih sesuai bermula sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan bukan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.

Ini kerana beliau risau golongan muda di luar bandar negeri ini masih rendah pengetahuannya dan kesedaran tentang politik dan mungkin belum bersedia secukupnya menjadi pengundi secara automatik dan keluar mengundi pada PRN12 Sarawak yang perlu diadakan selewatnya 2021.

“Saya rasa mereka (golongan muda di luar bandar) belum bersedia. Mungkin di bandar sentimennya lain tetapi di luar bandar masih jauh berbeza. PRU (15) mungkin lebih sesuai,” katanya selepas menghadiri Program Pidato Kenegaraan 2019 Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Jubli Perak, Politeknik Kuching, Jalan Matang, di sini, semalam.

Advertisement

Pertandingan pidato tersebut turut dihadiri Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Dr Dusit Jaul, Timbalan Pengarah Penerangan Sarawak, Ali Suhaili, Pengarah Jabatan Penyiaran Sarawak Zainal Abidin Asri Abd Wahid dan Timbalan Pengarah Politeknik Kuching Chow Tio Kiong.

Mordi mengulas adanya badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak menyarankan proses memulakan pendaftaran pengundi secara automatik dipercepatkan kerajaan supaya dilaksanakan sebelum PRN12.

Selain itu, beliau juga merasakan pendidikan mengenai politik perlu dimulakan pada peringkat sekolah lagi kerana berdasarkan pengalamannya menceburi politik sejak lapan tahun lepas, beliau mendapati masih ramai penduduk di luar bandar Sarawak termasuk pengundi dewasa yang kurang pengetahuan tentang pilihan raya.

“Itu yang saya telah suarakan di Parlimen dalan sesi perbahasan mengenai undi 18. Kerisauan saya adalah kawasan luar bandar (Sarawak) di mana kesedaran mengenai politik terlalu rendah dan ini berdasarkan pengalaman saya sendiri di Parlimen Mas Gading,” katanya.

Beliau berkata dari pengalamannya beliau juga mendapati ada penduduk luar bandar negeri ini malah beranggapan pilihan raya adalah Barisan Nasional (BN) atau mereka tidak tahu boleh mengundi parti lain dan undi mereka adalah rahsia.

“Benda ini remeh bagi sesetengah orang tetapi sangat penting bagi saya dan walaupun saya dibawah kerajaan Pakatan Harapan. Saya tak kisah pengundi mahu undi DAP, BN, GPS. Yang penting mereka tahu kenapa mereka mengundi dan bukan mengundi kerana takutkan ugutan,” katanya.

Sementara itu, pertandingan pidato tersebut telah dijuarai seorang guru, Canigia Udin Ben dari Kapit yang menerima hadiah RM1,500 dan akan mewakili negeri ini ke peringkat kebangsaan pertandingan ini September depan.

Tempat kedua pula dimenangi guru tuisyen Zulfadli Emran dari Lawas yang menerima hadiah RM1,000. Tempat ketiga dimenangi lepasan STPM Arif Adam Patahul Ariffin dari Meradong dengan hadiah RM500. — DayakDaily

Advertisement