Moratorium, bantuan bank bersasar dilanjutkan

Tan Sri Muhyiddin Yassin (file photo)

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 29 Julai: Kerajaan Perikatan Nasional hari ini telah mengumumkan ‘Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar’ kepada golongan yang memerlukannya, jelas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas beliau, ‘Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar’ ialah suatu kaedah yang akan meringankan beban peminjam individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih terjejas akibat penularan Covid-19.


“Saya mendengar rintihan saudara dan saudari berkenaan moratorium bayaran pinjaman yang bakal berakhir pada 30 September ini. Saya juga tahu ramai yang berharap agar moratorium ini dilanjutkan.

“Oleh itu, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh sebahagian daripada saudara-saudari yang masih memerlukan bantuan selepas tempoh moratorium berakhir.

“Jadi, pada hari ini saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional telah bersetuju untuk melaksanakan Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar yang lebih berfokus khusus untuk golongan yang benar-benar memerlukan,” kata Muhyiddin ketika mengumumkan ‘Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar’ secara langsung melalui TV1, TV3 dan Astro Awani sebentar tadi (Julai 29).

Beliau menjelaskna bahawa mereka yang yang layak untuk mendapat kelonggaran moratarium dari institusi -institusi perbankan seperti mereka yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, akan menikmati moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh 3 bulan.

“Selepas 3 bulan, tempoh moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi individu masing-masing.

“Kedua, bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan akibat Covid-19, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pinjaman.

“Contohnya, bagi pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi, bayaran ansuran bulanan akan dikurangkan pada kadar yang sama dengan pengurangan gaji. Bantuan ini adalah untuk tempoh sekurang-kurangnya enam (6) bulan dan lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan,” jelas beliau.

Perdana Menteri juga berkata, di samping itu, bank-bank telah memberikan komitmen untuk membantu semua peminjam individu atau PKS, baik peniaga, penjaja atau mereka yang bekerja sendiri yang turut terkesan akibat Covid-19.

“Bergantung kepada situasi peminjam- peminjam, bantuan-bantuan yang ditawarkan termasuk: membayar faedah sahaja untuk suatu jangka masa yang ditetapkan; atau memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan pembayaran balik bulanan; atau memberi pelepasan lain sehingga peminjam mencapai kedudukan kewangan yang lebih stabil,” kata beliau.

Muhyiddin berlata, bagi pinjaman sewa beli pula, pihak bank akan turut menawarkan pilihan penjadualan ansuran yang bersesuaian tertakluk kepada Akta Sewa Beli.

“Contohnya, memanjangkan tempoh bayaran balik pada kadar ansuran bulanan yang lebih rendah,” jelas beliau.

Muhyiddin berkata, langkah-langkah ini dijangka akan memanfaatkan tiga juta individu dan PKS.

“Sekiranya lebih ramai memerlukan bantuan, institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk mempertimbangkan bantuan yang sewajarnya. Justeru, peminjam yang layak bolehlah menghubungi bank masing-masing untuk membuat permohonan mulai 7 Ogos 2020,” kata beliau.

Jelas beliau, ‘Lanjutan Moratorium dan Bantuan Bank Bersasar’ ini akan dapat meringankan beban saudara dan saudari yang terjejas dengan masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini dengan kerjasama institusi perbankan di negara kita diharapkan dapat menyokong kemampanan perniagaan, membantu usaha memulih serta melonjakkan semula ekonomi negara dan menjamin kesejahteraan hidup anda semua.

“Dengan pengumuman ini, saya harap Makcik Kiah, Pak Salleh, Encik Lee, Puan Rani, Encik Douglas dan semua rakyat Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega sementara kerajaan dan pihak industri berusaha untuk memulihkan semula ekonomi negara kita,” tambah beliau.

Sejak berkuatkuasa pada 1 April yang lalu, moratorium bayaran pinjaman telah sedikit sebanyak membantu rakyat dan perniagaan ekoran terhentinya hampir kesemua aktiviti ekonomi dalam usaha memerangi penularan wabak Covid-19.

Menurut data daripada Bank Negara Malaysia, sehingga 20 Julai 2020, lebih 7.7 juta peminjam individu atau 93 peratus daripada kesemua peminjam telah mendapat manfaat daripada moratorium bayaran pinjaman yang bernilai RM38.3 bilion.

Dalam tempoh yang sama, sejumlah 243,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) atau 95 peratus daripada keseluruhan peminjam PKS telah menerima manfaat daripada moratorium ini dengan nilai RM20.7 bilion.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat jelata supaya terus menjaga kesihatan masing-masing kerana gejala virus Covid-19 masih tegang. —DayakDaily