MKN: Polis dan Rela diberi kuasa dalam pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan

Signature. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, Mac 18: Pegawai polis dan RELA diberi kuasa dalam penguatkuasaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai hari ini hingga Mac 31.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi kenyataan media hari ini mendedahkan pemberian kuasa tersebut adalah di bawah Seksyen 3, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

“Bagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit, pegawai polis dan anggota RELA telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa,” menurut MKN.


MKN juga memaklumkan bahawa mesyuarat penyelarasan antara agensi kerajaan telah diadakan pada Mac 17 untuk memperincikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan agar perintah ini dapat berjalan dengan baik dan lancar.

Ia untuk memastikan keperluan orang ramai kepada perkhidmatan asas tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

“Bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan ini, orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa kecuali untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.

“Selain itu, amalkan penjarakkan sosial dari orang sekeliling demi mengelakkan jangkitan COVID-19.”

Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa mulai jam 12.00 tengah malam, Mac 18.

Sehubungan dengan itu, MKN menggesa orang ramai untuk mematuhi semua peraturan yang telah diputuskan oleh pihak berkuasa.

Sekiranya terdapat pertanyaan lanjut berkenaan perkara ini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri di talian 03-8888 2010. — DayakDaily