Misteri kehilangan Stanley sejak seminggu lalu terungkai selepas ditemui selamat


BAU, Sept 23: Misteri kehilangan seorang lelaki selepas dilaporkan hilang di Gunung Singai di sini terungkai apabila dia ditemui selamat di kawasan gunung berkenaan hari ini.

Mangsa, Stanley Kho, 22, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 8.40 pagi.

Kelihatan mangsa yang ditemui selamat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii berkata, jarak mangsa ditemui hanya kira-kira 300 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB) di situ.


Menurutnya, sebelum itu pada pukul 8.10 pagi, penduduk kampung terdengar mangsa menjerit meminta tolong dan pasukan SAR dimaklumkan mengenai petunjuk positif berkenaan

“Namun, laluan dari PKB ke lokasi mangsa ditemui memerlukan pasukan SAR mendaki dengan kecuraman 80 darjah.

“Semasa ditemui, mangsa dijumpai dalam keadaan lemah sebelum pasukan SAR memberikan makanan dan minuman kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pasukan SAR mengusung mangsa untuk dibawa ke kaki Gunung Singai.

Tiong menambah, pasukan SAR terpaksa menggunakan alat pengusung atau stretcher dan tali untuk membawa mangsa turun ke kaki gunung berkenaan.

“Mangsa dikatakan akan dibawa ke Borneo Medical Centre untuk rawatan susulan,” katanya.

DayakDaily sebelum ini melaporkan dalam kejadian Isnin lepas (Sept 17), mangsa dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu bersendirian kira-kira pukul 8 pagi.

Laporan berhubung kehilangan mangsa hanya dilakukan pada pukul 4.35 petang, hari yang sama.

Kehilangan mangsa disedari tiga rakannya yang menemui kereta lelaki berkenaan masih diletakkan di kaki Gunung Singai. — DayakDaily