Misteri kehilangan pemilik syarikat pembinaan terungkai apabila ditemui mati

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, April 3: Misteri kehilangan seorang pemilik sebuah syarikat pembinaan yang tidak pulang ke rumah sejak Mac 31 lepas terungkai apabila dia ditemui mati tergantung di pejabatnya di Kota Sentosa di sini semalam.

Mengesahkan kes tersebut, Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan berkata, mangsa yang ditemui mati berusia 51 tahun.

Advertisement

Kata Aidil, siasatan awal mendapati mangsa ditemui mati oleh adik dan seorang pekerjanya yang pergi ke pejabat berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Mayat mangsa ditemui tergantung di tangga dengan menggunakan tuala.

“Adik mangsa kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aidil memberitahu, siasatan lanjut mendapati mangsa dipercayai mempunyai masalah kewangan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement