Miri tuan tumah Sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Peringkat Sarawak

Dato Sri Lee Kim Shin (file pic)

KUCHING, 10 April: Bahagian Miri akan menjadi tuan rumah bagi sambutan perayaan Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak pada 4 dan 5 Jun depan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Pengangkutan Sarawak yang juga menteri bertanggungjawab bagi sambutan itu adalah Dato Sri Lee Kim Shin.

Ujar Lee, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib merupakan tetamu kehormat yang akan menyerikan perayaan berkenaan.


Menurutnya lagi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang turut dijangka hadir.

“Majlis Kesyukuran akan diadakan di Masjid At-Taqwa, Miri dan dijangka dihadiri oleh seramai 1,200 jemputan termasuk petugas pada 4 Jun 2023, jam 6 petang.

“Manakala, pada 5 Jun pula, Majlis Jamuan Teh akan diadakan di Hotel Pullman, Miri pada jam 10 pagi dan dijangka dihadiri seramai 500 jemputan,” katanya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI Peringkat Negeri Sarawak Tahun 2023 di Pejabat Residen Miri di Miri hari ini. — DayakDaily