Minuman keras bernilai RM1.46 juta disita Kastam di Sibu

Minuman keras yang cuba diseludup masuk.

SIBU,19 Nov: Jabatan Kastam Diraja Malaysia(JKDM) Sarawak berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk pelbagai jenis barangan termasuk minuman keras bernilai mencecah RM1.46 juta baru-baru ini.

Pengarahnya, Herman Shah Abdullah berkata kesemua barangan tersebut diangkut menggunakan 19 buah kontena dan telah ditahan untuk pemeriksaan dalam satu operasi khas Ops UNDIKAR di Pelabuhan Rajang, di sini.

Menurutnya, operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kuching dilakukan pada 23 Oktober iaitu sekitar jam 12.40 tengah hari.


“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kontena-kontena tersebut telah menjumpai 520 jenis barangan yang kurang ikrar serta yang tidak diikrar, termasuk kira-kira 12,172.01 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran nilai sebanyak RM1.46 juta serta cukai dianggarkan berjumlah RM369,923.57.

“Kesemua 19 unit kontena tersebut serta barangan kes telah disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Sibu, Jalan Deshon,” katanya

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini yang turut memberitahu pihaknya juga menahan lapan individu iaitu ejen Kastam yang membuat pengikraran dagangan tersebut.

“Modus operandi ialah ejen dan pengimport mengikrar dagangan sebagai barangan campur (‘China goods’) dan mengikrar barangan di bawah kod tarif yang tidak bercukai atau peratusan cukai yang paling rendah.

“Dagangan juga diikrar sebagai barangan ‘console’ dengan kuantiti tidak tepat atau kurang ikrar untuk mengelak daripada membayar cukai yang tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu barangan yang memerlukan permit import seperti bahan binaan dan minuman keras sengaj disembunyikan di belakang kontena dan ditutupi dengan barangan campur yang lain bagi mengelirukan pegawai kastam yang membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pasukan operasi melakukan pemeriksaan rapi dan mendapati sebahagian barangan tidak diikrar dengan betul dari segi kuantiti manakala sesetengah barangan tidak diikrar langsung termasuklah 12,172.01 liter minuman keras yang memerlukan permit import selaras dengan peruntukan di bawah Perintah Kastam (Larangan
Mengenai Import) 2017,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam 1-80088-8855 atau pejabat Kastam yang berhampiran.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. — DayakDaily