Mindef: Isu teknikal sebab kelewatan penghantaran helikopter MD530G

An image of the Ministry of Defence complex.

KUCHING, 1 Nov: Pelbagai isu teknikal yang dialami syarikat pembuat asal (original equipment manufacturer atau OEM) telah menyebabkan kelewatan penghantaran helikopter tempur ringan MD530G kepada Kementerian Pertahanan.

Menurut kenyataan daripada kementerian hari ini, semasa pembinaan helikopter tersebut, kerajaan telah mengkaji semula kesesuaian alatan serta spesifikasi dan mendapati pindaan dan perubahan perlu dibuat agar helikopter yang diterima memenuhi keperluan agensi.

Berdasarkan kontrak asal, syarikat telah gagal mematuhi obligasi utamanya iaitu menghantar enam buah helikopter, tambah kementerian.


Kementerian juga menyatakan yang tarikh penghantaran bagi helikopter tersebut juga telah dipinda sebanyak tiga kali, namun tiada sebuah helikopter pun yang telah diserahkan kepada kerajaan sehingga hari ini.

“Kerajaan pula telah memenuhi obligasi dengan membuat pembayaran kepada syarikat sebanyak RM112.6 juta yang bersamaan dengan 35 peratus daripada RM321.9 juta nilai keseluruhan kontrak, iaitu sehingga bayaran milestone ke-6,” kata kementerian.

Tambah kenyataan tersebut, pihak kementerian sedang mengkaji maklumat dan maklumbalas yang diterima dari semua pemegang taruh bagi memuktamadkan hala tuju mengenai perolehan helikopter ini.

“Kerajaan telah mengenal pasti beberapa opsyen yang boleh diambil bagi menangani permasalahan perolehan ini dan akan memastikan sebarang keputusan yang diambil hanya akan mengakibatkan kerugian paling minima kepada kerajaan.

“Kerajaan juga tidak akan terpengaruh dengan tekanan dari mana-mana pihak mengenai perolehan ini,” kata kenyataan tersebut. — DayakDaily