MFL rancang sambung semula Liga Malaysia pada September ini

Datuk Abdul Ghani Hassan

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, 1 Mei: Malaysian Football League (MFL) merancang untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia selepas tertangguh sejak 16 Mac lalu akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abdul Ghani Hassan, hasil perbincangan MFL bersama pemegang taruh jelas rata-rata mereka memberikan isyarat positif dalam usaha meneruskan kembali saingan Liga Malaysia bagi musim 2020.


Namun segala perancangan ini masih tertakluk kepada arahan dan saranan terbaharu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Katanya, dalam kenyataan media hari ini, badan induk Liga Malaysia itu sentiasa meletakkan keutamaan pada aspek kesejahteraan masyarakat namun dalam masa yang sama perlu mengambil kira penglibatan ramai pihak dalam industri bola sepak yang besar di negara ini serta impak terhadap sukan nombor satu negara jika Liga Malaysia tidak dapat diteruskan musim ini.

“MFL menghormati pandangan pelbagai pihak mengenai status perjalanan Liga Malaysia musim ini, tetapi MFL sudah mengkaji dan meneliti secara mendalam bagi menyusun semula kalendar baharu Liga Malaysia.

“Kita sedia maklum bahawa ramai pihak bergantung kepada sumber ekonomi mereka dalam industri bola sepak tanah air. Justeru, MFL masih berpandangan positif untuk memulakan kembali saingan liga yang terpaksa ditangguhkan selepas kerajaan mengeluarkan arahan PKP pada 18 Mac lalu.

“Keprihatinan MFL dan FAM dalam aspek keselamatan pemain, pegawai dan penyokong berkenaan wabak Covid-19 diterjemahkan apabila membuat keputusan supaya perlawanan CIMB Liga Super, Liga Premier, serta Liga M3 dijalankan tanpa penonton pada 14 dan 15 Mac, sebelum semua saingan termasuk Shopee Piala FA ditangguhkan pada 16 Mac, iaitu dua hari sebelum PKP diumumkan oleh kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun Abdul Ghani menegaskan bahawa pelan perancangan ini akan dikaji semula pada Jun depan berdasarkan perkembangan semasa wabak Covid-19.

“Kita akan memantau situasi semasa isu wabak Covid-19 dan akan mengemukakan permohonan semula mengenai perancangan jadual Liga Malaysia 2020 berdasarkan arahan terbaharu MKN, KKM dan KBS pada Jun nanti.

“Pihak MFL juga akan menitikberatkan soal keselamatan semua pihak yang terlibat dengan SOP perlawanan lebih ketat mengikut saranan MKN, KKM dan KBS andai Liga Malaysia musim 2020 dapat diteruskan seperti yang dirancangkan itu.

“Perancangan Liga Malaysia dan SOP ini juga sudah MFL bentangkan dalam pertemuan dengan Datuk Seri Reezal pada 23 April lalu dan ini membuktikan bahawa MFL sentiasa bersedia berbincang dan mengikuti segala saranan serta arahan daripada MKN, KKM dan KBS sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya lagi.

Perancangan MFL untuk meneruskan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier pada 1-2 September, 2020, dan akan berakhir pada 26-27 September, 2020, dengan saingan secara separuh liga sahaja.

Menerusi format itu, liga akan bersambung dari perlawanan kelima hingga perlawanan ke-11 dengan semua perlawanan mengikut jadual asal seperti yang telah ditetapkan.

Kenyataan itu turut menyebut TM Piala Malaysia akan berlangsung pada 17-18 Oktober, 2020, dan akan berakhir pada 7 November, manakala saingan Shopee Piala FA dan Challenge Cup dibatalkan.

Format pertandingan TM Piala Malaysia akan dirombak di mana tiada saingan peringkat kumpulan dengan saingan 16 pasukan akan berlangsung secara kalah mati satu pusingan termasuk suku akhir dan separuh akhir.

11 pasukan terbaik CIMB Liga Super dan lima pasukan terbaik Liga Premier (kecuali pasukan Reserve Team) yang layak beraksi dalam saingan TM Piala Malaysia akan diundi untuk menentukan perlawanan awal dan juga pasukan tuan rumah.

Semua pasukan akan memulakan sesi latihan pada Ogos mengikut SOP kendalian latihan dan perlawanan Liga Malaysia yang akan dikeluarkan oleh FAM dan MFL berdasarkan arahan MKN, KKM dan KBS serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiap perlawanan akan diadakan mengikut SOP Perlawanan Tanpa Penonton seperti yang ditetapkan oleh MKN dan KKM disebabkan penularan wabak Covid-19.

Tiada tempoh perpindahan pemain dibuka pada pertengahan Liga Malaysia 2020 jika saingan bermula pada September.

Saingan Liga Malaysia 2020 akan dibatalkan jika MKN, KKM dan KBS tidak membenarkan perlawanan bersambung semula sehingga September 2020.

Status Liga M3 kelolaan Amateur Football League (AFL) akan diputuskan pada Jun 2020 memandangkan banyak faktor sedang dikaji dan diperhalusi kerana perlawanan saingan kelab amatur itu diadakan di padang terbuka. — DayakDaily