MESTECC siapsiaga laksanakan Operasi Pembenihan Awan

Raindrops. — DayakDaily.com file pic. // Image by Roman Grac from Pixabay
Advertisement

KUCHING, Sept 8: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui agensi pelaksanaannya, MET Malaysia dalam keadaan kesiapsiagaan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA).

Ketua Pengarah MESTECC menerusi satu kenyataan media hari ini berkata OPA akan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Operasi hanya akan dilakukan sekiranya keadaan atmosfera berada dalam keadaan yang sesuai.

Advertisement

“Malaysia sentiasa memantau keadaan atmosfera dari semasa ke semasa dan akan segera melaksanakan OPA apabila keadaan adalah sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu kepada penduduk di kawasan terlibat,” menurut kenyataan media itu.

Keadaan cuaca berjerebu yang sedang dialami beberapa kawasan dalam negara terutamanya di negeri-negeri pantai barat Semenanjung dan barat Sarawak ketika ini adalah berikutan daripada peningkatan bilangan titik panas yang berlaku di Sumatera dan Kalimantan.

Kemungkinan berlaku hujan lebat di Sumatera, Kalimantan, Indonesia dan Malaysia adalah rendah dalam tempoh seminggu akan datang.

MESTECC menasihati orang ramai untuk mengurangkan aktiviti luar dan memakai penutup muka dalam keadaan cuaca berjerebu ketika ini.

Orang ramai juga dinasihatkan meminum banyak air dan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka dalam tempoh ini.

Maklumat dan ramalan cuaca terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial jabatan tersebut. — DayakDaily

Advertisement