Mercun, bunga api bernilai RM9,000 dirampas di Kuching

Kelihatan premis yang diserbu.

KUCHING, 18 Jan: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai kira-kira RM9,000 dalam satu operasi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata rampasan dibuat selepas disyaki mercun dan bunga api tersebut dijual tanpa permit yang sah.

Katanya, serbuan dilakukan di kaki lima sebuah premis di Jalan Kempas, di sini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Bahagian Perlesenan Daerah.

Pasukan operasi selain itu turut menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia antara 20 tahun untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Ahsmon menegaskan operasi seumpama itu akan berterusan dari masa ke semasa bagi mengekang aktiviti penjualan mercun dan bunga api tanpa permit.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyokong aktiviti sedemikan. ā€” DayakDaily