Merarau di ‘Kanen La’ong’, pelbagai masakan Dayak menanti

Antara menu 'Kanen La'ong'.
Advertisement

KUCHING, 28 Ogos: Teringin merasa masakan Dayak untuk merarau, penduduk sekitar Kuching boleh mencuba ‘Kanen La’ong’ di Sing Garden Cafe di sini.

Hidangan beras Bario dengan pelbagai jenis lauk pauk pastinya memberi kepuasan kepada warga Bandaraya sebelum meneruskan tugas hingga ke petang.

Pengusaha ‘Kanen La’ong’, Leslie Tony dan Isteri Alice Jackson sememang peramah selain sentiasa memberikan senyuman kepada setiap pelanggan.

Advertisement

Menurut Leslie, 47, menu merarau yang disediakan adalah berkonsepkan masakan ala Iban, Bidayuh dan juga Orang Ulu.

Selain itu katanya, masakan Cina dan Melayu juga turut disediakan bagi menepati citarasa pelanggan dari pelbagai bangsa.

Leslie (kanan) sedia menanti pelanggan merarau seawal 10 pagi.

“Sayur dan ikan sentiasa berubah setiap hari, dan kita ada 16 pilihan lauk.

“Kepada yang berminat, datanglah awal kerana kebiasaannya lauk habis seawal jam 1 tengahari,” kata Leslie.

Beliau serta isteri yang memasak semua hidangan sudah 2 tahun menyediakan menu merarau di Sing Garden Cafe.

Berasal dari Durin di Sibu, Leslie datang ke Kuching pada tahun 1999 dan mula menceburi perniagaan makanan sejak 6 tahun yang lepas.

Antara menu disediakan hari ini ialah bunga kantan tumis, rebung tumis, daun ubi, nanas kari, terung cina sambal, kedondong sambal, ambal kunyit, ikan rempah kicap, ayam pansuh dan lain lain.

‘Kanen La’ong’ dibuka setiap hari kecuali Isnin, Sabtu dan Ahad.

Selain menyediakan menu merarau, Leslie turut menyediakan perkhidmatan catering. — DayakDaily

Advertisement