Menteri Kanan, 3 menteri penuh dan 5 timbalan menteri GPS, pengiktirafan buat rakyat Sarawak

Datuk Seri Fadillah Yusof
Advertisement

KUCHING, 9 Mac: Perlantikan sebagai Menteri Kanan dan Menteri Kerja Raya, selain tiga menteri penuh dan lima timbalan menteri yang diperuntukkan kepada GPS adalah pengiktirafan buat rakyat Sarawak, kata Ketua Whip Parlimen GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Katanya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memerlukan GPS untuk sama-sama berada dalam kabinet serta mentadbir negara untuk mendepani senario politik dan ekonomi yang kian mencabar demi kepentingan nasional.

Menurut beliau, perlantikan ini bukanlah jawatan yang perlu mereka megah-megahkan.

Advertisement

“Sebaliknya ia adalah amanah besar demi rakyat dan negara, yang perlu kami galas dengan rasa rendah diri dan penuh rasa tanggungjawab,” katanya menerusi kenyataan sebaik sahaja pengumuman barisan kabinet sebentar tadi.

Lapan lagi wakil GPS dalam kabinet persekutuan ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Ini termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib; Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah; Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Tiong King Sing.

Tambah Fadillah, yang juga MP Petra Jaya, walaupun menganggotai kabinet persekutuan, kedudukan GPS kekal sebagai entiti politik Sarawak mesra kerajaan persekutuan.

GPS, katanya, akan terus memperjuangkan hak-hak Sarawak dan tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Dahulu pun dibawah kerajaan Pakatan Harapan, GPS mengambil pendekatan mesra kerajaan persekutuan. Namun bezanya dibawah kepimpinan Muhyiddin, perdana menteri kelapan itu memerlukan GPS untuk sama-sama berada dalam kabinet.

“Kami anggota kabinet dari GPS dalam memperjuangkan hak Sarawak akan sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan nasional, dalam melaksanakan amanah atas portfolio yang dipertanggungjawabkan,” ujar beliau. — DayakDaily

Advertisement