This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 9 Sept: Adun Katibas Lidam Assan menyifatkan mendiang Dato Sri Ambrose Belikau sebagai seorang pemimpin yang setia kepada parti.
Katanya, walaupun suasana politik di eranya (Ambrose) agak mencabar, bekas Adun Katibas selama sembilan penggal itu sentiasa teguh menyokong kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Mendiang berjaya menyatupadukan rakyat di kawasannya walaupun suasana politik ketika itu sangat mencabar.
“Mendiang juga sentiasa menasihati generasi muda untuk mementingkan parti, dan sedar bahawa pemimpin akan datang dan pergi.
“Saya menerima bimbingan daripada mendiang pada awal penglibatan saya dalam politik,” kata Lidam.
Ambrose meninggal dunia di Kuching hari ini pada usia 70 tahun.
Beliau merupakan tokoh veteran dalam politik Sarawak dan dipilih sebagai wakil rakyat seawal usia 26 tahun.
Mendiang bertanding dan menang di DUN Katibas pada tahun 1979, selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya tersebut pada 1977.
Pada 1987, ketika krisis Ming Court memuncak, Ambrose tewas kepada cabaran wakil Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Felix Bantin Jibom dengan perbezaan majoriti 544 undi.
Namun Ambrose kembali merampas kerusi tersebut pada tahun 1991, dengan mencipta majoriti 1,666 undi untuk menewaskan Felix dan calon parti Negara, James Minggu Seran.
Untuk dua penggal selepas itu, suami kepada Datin Seri Marie Therese Mathias ini menang tanpa bertanding.
Pada 2016, pada usia 63 tahun, Ambrose menewaskan calon DAP Paren Nyawi, dengan majoriti bertambah 3,063 undi, sekali gus membuktikan Katibas sebagai kubu kuat PBB.
Lulusan sarjana pentabiran perniagaan dari Harriot Wat University, Scotland ini pernah menjadi menteri muda Sarawak dari tahun 2001 hingga 2009.
Manakala dalam hierarki parti, beliau pernah menjawat Setiausaha Agung PBB. — DayakDaily