Memakai kamera badan mungkin diwajibkan untuk pegawai penguatkuasa

Professor Dr Sim Kui Hian (dua dari kiri) menyaksikan pegawai pengurusan dan profesional dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan agensi dibawahnya membacakan ikrar bebas rasuah di DUN.
Advertisement

KUCHING, Jan 24: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak melihat kemungkinan mewajibkan pegawai penguatkuasa semua agensi dibawahnya memakai peralatan kamera badan ketika menjalankan tugas harian bagi mengawasi kakitangan tersebut dari melakukan kesalahan terutamanya menerima rasuah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian berkata demikian berikutan kaedah pemakaian kamera badan terbabit sudahpun digunakan di luar negara bagi mengawasi pegawai penguatkuasa termasuk anggota polis di Lidong iaitu satu daerah bandaraya Shenzhen di China selepas beliau melawat negara itu baru-baru ini.

“Inilah masa hadapan, samada kamu (pegawai agensi dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) suka atau tidak. Saya fikir bahagian penguatkuasa kamu akan dapat disediakan dengan semua (kamera badan) ini manakala kami dan pihak pengurusan (agensi) akan melaksanakan pengunaannya secara berperingkat,” katanya ketika merasmikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Agensinya, di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Advertisement

Keseluruhannya seramai 555 orang terdiri dari pegawai pengurusan dan profesional kementerian itu dan agensinya termasuk dari Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak, Jabatan Pembentungan Sarawak, dan Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) telah membaca dan menandatangani ikrar bebas rasuah semasa acara tersebut.

Dr Sim berkata kamera badan akan merakamkan dimana sahaja pegawai agensi terbabit bertugas dan urusannya dan rekod rakaman itu akan memudahkan pihak atasan menyiasat kakitangan tersebut sekiranya disyaki melakukan kesalahan berat terutamanya menerima rasuah.

Selain kamera badan, kementerian terbabit juga bercadang mengikut langkah yang diambil pihak berkuasa di daerah Lidong itu yang memasang sebanyak 8,000 kamera sekitar daerah tersebut bagi merakam gambar muka seramai 4.5 juta penduduknya.

“Kamera itu mampu merakam sebanyak 10 juta gambar muka dan dua juta gambar nombor plat kenderaan setiap hari dan teknologi ini membolehkan pergerakkan sesiapa sahaja dalam tempoh dua tahun lepas di daerah terbabit disiasat pihak berkuasa,” katanya, yang juga menambah teknologi terbabit direka syarikat Huawei bagi mewujudkan Bandaraya Pintar di Shenzhen.

Sementara itu, beliau juga berharap ikrar bebas rasuah dapat mengelakkan kalangan pegawai kementerian itu dan agensinya dari terjerumus mengamalkan rasuah yang seterusnya akan merosakkan imej dan reputasi kerajaan negeri.

“Sebagai agensi bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan peraturan dan undang-undang, saya tidak dapat menafikan kewujudan risiko dimana pegawainya mungkin akan diberi rasuah pihak tertentu,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Sim berharap lebih banyak agensi lain dibawah kementerian terbabit menunjukkan kesungguhan mereka tidak mengamalkan rasuah dengan kakitangannya secara sukarela membaca dan menandatangani ikrar bebas rasuah serta agensi itu mewujudkan persahabatan yang baik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). — DayakDaily

Advertisement