Oleh: Juetila Ozzy
BINTULU, 1 Dis: Seorang mekanik terbunuh akibat kecederaan parah selepas terlibat kemalangan di Batu 13 Jalan Bintulu-Miri malam tadi.
Mangsa dikenali sebagai Robinson Engkang Rundang, berusia 33 tahun dan beralamatkan dari Jalan Tun Hussein Onn, Grandmet Industrial Estate, di sini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt. Alexson Naga Chabu berkata mangsa semasa kemalangan dikatakan memandu sebuah kereta dari arah Batu 5 Jalan Bintulu-Miri menuju ke Rumah Gawan di Batu 14 Jalan Bintulu-Miri iaitu sekitar jam 10.20 malam.
“Dipercayai kereta yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar penghadang besi jalan.
“Akibat kemalangan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily