Mekanik kantoi buat laporan palsu motorsikal dicuri

Suspek (tengah, baju hijau) dicekup polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 27 Mei: Seorang mekanik ditahan polis pagi semalam (Khamis) selepas membuat laporan polis palsu mengenai kehilangan sebuah motorsikal miliknya.

Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri selepas kantoi membuat laporan palsu itu bagi tujuan mendapatkan tuntutan insurans.


Hasil siasatan awal mendapati suspek telah diarahkan majikannya untuk membuat laporan palsu tersebut bagi membuat tuntutan insurans.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Tangkapan dilakukan tidak sampai 1 jam selepas suspek tampil membuat laporan palsu di Balai Polis Pusat Miri pada Khamis.

“Temubual siasat terhadap suspek yang baru selesai membuat laporan kehilangan motorsikal telah memberi keterangan yang mencurigakan kepada pihak polis yang bertugas mengenai senario kehilangan motorsikalnya. Setelah selesai ditemubual siasat, suspek mengaku membuat laporan palsu dan tujuan laporan adalah untuk tuntutan palsu insuran,” ujar Alexson.

Justeru itu, orang ramai dinasihat agar tidak membuat sebarang laporan palsu dan merekakan cerita yang tidak betul.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak memgambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang yang sedia ada bagi mendakwa pelaku,” ujarnya. — DayakDaily