Medac: 5,000 usahawan kuasai teknik dan pemasaran digital

Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUCHING, 2 Dis: Hampir 5,000 usahawan telah menguasai teknik jualan dan pasaran digital menerusi program Online Onboarding Coaching (E-Board) yang diperkenalkan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, E-Board bermula pada bulan Julai 2020 bagi memperkukuh kemampuan dan kapasiti usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam penggunaan ‘platform’ secara atas talian.

“Sasaran program ini adalah peningkatan jualan usahawan, hasil daripada penggunaan ‘platform’ atas talian,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Menurut Wan Junaidi, keberhasilannya terbukti apabila ada di antara kalangan usahawan yang telah berjaya melonjakkan jualan sebanyak 525.58 peratus semasa dalam tempoh program bimbingan dijalankan.

Katanya, purata hasil jualan kesemua 250 peserta Kohort 1 telah mencatat peningkatan sebanyak 17.57 peratus.

“INSKEN amat komited dalam membantu proses transformasi usahawan dari perniagaan konvensional kepada perniagaan secara atas talian melalui ‘platform’ seperti Facebook, Instagram, YouTube, WhatsApp dan Telegram.

“Pada peringkat awal program E-Board, usahawan akan diberi pendedahan kepada semua ‘platform’ atas talian dalam jangka masa dua hari melalui sesi latihan ‘General E-Marketplace’,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, usahawan akan diberi peluang untuk memilih ‘platform’ yang ingin dikuasai bersesuaian dengan perniagaan mereka agar dapat dibimbing selama tiga bulan oleh pakar secara lebih mendalam dan intensif.

Mengambil contoh Syarikat Teratak Ilmu, pemiliknya Widad Fitriah merupakan usahawan yang berjaya melonjakkan jualan tertinggi melalui program E-Board.

Tambah beliau lagi, kesemua kos operasi Teratak Ilmu kini 100 peratus mampu dibayar menggunakan hasil jualannya berbanding dahulu yang terpaksa menggunakan sumber pendapatan lain untuk menampung kesemua kos tersebut.

“Pencapaian ini sudah berjaya dikekalkan selama empat bulan berturut-turut, hasil daripada bimbingan melalui program E-Board,” ujar Wan Junaidi.

Selain itu katanya, INSKEN juga telah mempersiapkan usahawan ke arah ekonomi digital melalui Program INSKEN Business Training yang turut diadakan secara atas talian.

Antara topik-topik yang diberi pendedahan kepada usahawan adalah seperti WhatsApp Untuk Bisnes, Pasarkan Produk Anda di e-Marketplace (Shopee dan Lazada), Zero Cost Marketing Menggunakan Facebook dan banyak lagi.

“Sepanjang tahun 2020, sejumlah 4,759 usahawan telah mendapat manfaat dari program-program yang memfokuskan kepada topik digitalisasi ini,” katanya. — DayakDaily