MBKS naiktaraf semua taman-taman awam, dijadikan kawasan pelbagai guna

Wee (dua dari kiri) menyerahkan dokumen Kerja Menaiktaraf Landskap Taman Awam Pending kepada wakil kontraktor yang dipilih.

KUCHING, 22 Ogos: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan meningkatkan fasiliti di semua taman-taman awam di sekitarnya agar menjadi satu kawasan pelbagai guna.

Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng berkata, taman-taman awam ini seharusnya boleh digunakan untuk penganjuran pelbagai acara.

“Selain digunakan untuk aktiviti jogging dan riadah, kita mahu taman-taman ini menjadi satu kawasan pelbagai guna.


“Seperti Dewan Masyarakat Kuching yang kebiasaan digunakan untuk penganjuran acara, makan malam dan perkahwinan, kawasan sekitarnya juga boleh digunakan untuk menjana pendapatan.

“Kita boleh nampak kejayaan ‘Food Fair’ yang diadakan di kawasan tersebut dalam tempoh 24 hari yang lepas,” katanya ketika ditemui di Penyerahan Kerja Menaiktaraf Landskap Taman Awam Pending hari ini.

Untuk menjayakan usaha tersebut tambah Wee, dewan bandaraya akan memastikan sekurang-kurangnya satu atau dua taman awam dinaiktaraf dalam tempoh setahun.

Menurut beliau, ia juga bagi menyahut seruan Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian yang mahukan pihak MBKS bersedia untuk menyediakan kemudahan bagi masa hadapan.

Kata Wee, kemudahan ini nanti bukan sahaja untuk golongan belia tetapi juga untuk keselesaan golongan yang bakal menjangkau usia tua.

“Justeru, inilah langkah-langkah yang kita laksanakan, Taman Kenyalang telah kita naiktaraf dan memberi kemudahan kepada penduduk sekitarnya.

“Akhirnya, kita akan menghubungkan semua taman-taman ini dengan aktiviti ‘jogging’ atau berbasikal,” kata Wee.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerja Menaiktaraf Landskap Taman Awam Pending memakan masa 14 minggu bermula hari ini sehingga 28 November 2022.

Ia dilaksanakan dengan kos RM494,447.50 dengan peruntukan diperolehi dari kerajaan persekutuan. — DayakDaily