Mayat warga Myanmar yang lemas 3 hari lepas ditemukan

Mayat Si Thu Htun ditemukan anggota Bomba 7km dari tempat kejadian.

KUCHING, Ogos 18: Mayat seorang lelaki warga Myanmar dikhuatiri lemas dan hilang dibawa arus deras di Sungai Rajang, Sibu sejak 16 Ogos lepas ditemukan jam 10.15 pagi hari ini.

Menurut maklumat dari Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mangsa dikenali sebagai Si Thu Htun, 21 dijumpai pihak Bomba pada jarak 7km dari tempat kejadian.

Pada hari kejadian, mangsa bersama seorang lagi rakan sekerja dikatakan terjun dari atas tongkang yang berlabuh di berhadapan sebuah kilang sekitar jam 12.40 tengahari.


Difahamkan mangsa baharu selesai bergunting rambut sebelum terjun ke sungai untuk mandi.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilancarkan sejurus dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 1.30 petang itu.

Pihak Bomba menjalankan SAR menggunakan kaedah pencarian dasar sungai.

Operasi SAR di hari ketiga telah disertai oleh enam anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM Sg Merah), tiga anggota Pasukan Polis Marin (PPM) dan tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM Sibu).— DayakDaily