KUCHING, 11 Ogos: Beberapa orang pekerja yang melakukan pembersihan di sepanjang Sungai Satok dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki.
Difahamkan, mayat tersebut yang sudah dikenalpasti identitinya ditemui terapung berhampiran Kampung No. 6 sekitar jam 12.30
pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Supt Merbin Lisa berkata anggotanya telah pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan sebaik sahaja laporan diterima.
“Pemeriksaan awal terhadap tubuh si mati tidak menemui sebarang kecederaan yang mencurigakan dan keadaan mayat dalam proses pereputan.
“Selain itu, si mati masih lengkap berpakaian dan dompet juga ditemui dalam poket seluar bahagian belakang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 80 tahun.
“Mangsa telah dilaporkan hilang keluar rumah oleh ahli keluarganya pada 9 Ogos,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian,” katanya. ā DayakDaily