Dua cedera parah dalam kemalangan di Jalan Sultan Tengah, Santubong

Kedua-dua kereta tersebut berlanggar menyebabkan seorang pemandu tersepit.

KUCHING, 11 Ogos: Dua buah kereta dilaporkan berlanggar di Jalan Sultan Tengah, Santubong hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 4.53 petang.

Katanya, kemalangan menyebabkan kedua-dua pemandu kereta mengalami kecederaan parah.


“Kemalangan melibatkan dua buah kereta iaitu Perodua Kancil dan Proton Saga, di mana pemandu Perodua Kancil tersepit dan perlu dikeluarkan dengan bantuan pihak Bomba.

“Pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas dalam usaha mengeluarkan mangsa, manakala pemandu Proton Saga telah keluar dari kereta sebelum pihak Bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tamat pada jam 5.50 petang.

“Pihak Bomba turut dibantu seorang doktor ‘off duty’ yang kebetulan berada di tempat kejadian,” katanya. — DayakDaily