TANJUNG MANIS, 8 April: Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) mangsa yang hilang di laut berdekatan Tanjung Jerijeh ditamatkan pada jam 12.15 tengah hari tadi berikutan penemuan mayat mangsa pada malam semalam.
Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, MRSC Kuching telah menerima panggilan dari bapa mangsa menyatakan penemuan objek disyaki mayat mangsa di ruang wheelhouse bot yang karam berkenaan semasa kerja-kerja pengapungan bot dilakukan pada jam lebih kurang 8.55 malam tadi.
Katanya, bapa mangsa turut memaklumkan bahawa keperluan untuk dilakukan kerja selaman membawa keluar objek yang disyaki mayat berkenaan yang dikhuatiri terperangkap di bot tersebut.
“Sejurus mendapat maklumat tersebut, MRSC Kuching terus mengatur gerakkan aset dan menyalurkan maklumat kepada agensi sahabat.
“MRSC Kuching jua turut mendapatkan bantuan dari Pasukan Penyelamat di Air Balai Bomba Sungai Merah, namun disebabkan cuaca di lokasi tidak mengizinkan serta jarak penglihatan terhad pada waktu malam, operasi menyelamat diatur gerak pada pagi ini atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, sekitar jam 9.25 pagi tadi, pasukan penyelamat bersama pasukan penyelam telah tiba di lokasi dan mendapati mayat berkenaan telah berapung di permukaan air.
“Pasukan penyelamat bersama ahli keluarga di lokasi telah mengangkat mayat berkenaan ke atas bot PSC 55 Pasukan Polis Marin dan berdasarkan pengecaman awal oleh waris, mayat berkenaan adalah mayat mangsa yang di cari,” katanya.
Tambahnya Pasukan Penyelamat tiba di Jeti Terminal Tanjung Manis bersama mayat mangsa pasa jam 12.15 tengah hari.
“Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily