Mayat lelaki jatuh dalam Sungai Btg Rajang ditemui

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Express Daro di Jalan Khoo Peng Sibu dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Oleh Cornelius Kadir Edison

SIBU, 14 Okt: Mayat lelaki yang jatuh ke dalam Sungai Batang Rajang berdekatan jeti bot express Daro pada Isnin (Okt 12) lalu, ditemui terapung kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, mayat mangsa Neckson Entingai Isek, 39, ditemui kira-kira jam 11.28 pagi tadi oleh Pihak Lembaga Sungai Sarawak yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terbabit,


Katanya, dalam kejadian dua hari lepas, mangsa yang sedang duduk bersama bapa mertuanya di belakang sebuah bot express sebelum bertolak ke Daro tiba-tiba jatuh ke dalam sungai lalu terus tenggelam.

Usaha untuk menyelamatkan mangsa turut dilakukan oleh bapa mertuanya namum gagal sebelum laporan dibuat oleh bapa mertua mangsa di Balai Bomba dan Penyelamat Sibu.

“Operasi SAR turut diaktifkan pada hari yang sama selepas laporan diterima kira-kira jam 8.48 pagi. Bapa mertua mangsa turut memaklumkan mangsa juga mempunyai sejarah mengidap penyakit sawan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke jeti Express Daro, Jalan Khoo Peng dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily