Mayat lelaki hilang ketika cari siput sungai ditemui, disyaki dibaham buaya

Mayat mangsa ditemui oleh pasukan SAR.

KOTA SAMARAHAN, 16 Dis: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mencari siput di sungai Kampung Meranek pada 14 Dis lalu berjaya ditemui hari ini.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, mayat mangsa dikenali sebagai Mohd Razid Hamran, 27, ditemui sekitar jam 10.35 pagi kira-kira satu kilometer ke arah hulu Pos Kawalan Bomba (PKB).

“Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang disambung hari ini pada 9.15 pagi tadi dilakukan pada jarak radius 5km daripada lokasi kebiasaan mangsa mencari siput.


“Ketika ditemui oleh pasukan SAR sekitar jam 10.35 pagi tadi, mayat mangsa yang terapung dalam keadaan tertiarap dan kurang sempurna dipercayai akibat dibaham oleh buaya,” jelasnya menerusi satu kenyataan.

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Meranek untuk proses pengecaman sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Mayat mangsa dibawa ke Jeti Meranek untuk proses pengecaman sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada Isnin (14 Dis) lalu, mangsa telah turun ke sungai untuk mencari siput sekitar jam 11 malam.

Bagaimanapun mangsa yang kebiasaannya pulang sekitar jam 4 pagi didapati tidak berbuat demikian pada hari berkenaan.

“Susulan itu keluarga mangsa membuat laporan polis dan SAR mangsa diaktifkan pada hari yang sama.

“Pada SAR hari pertama dilakukan hanya perahu mangsa dijumpai di lokasi,” katanya.

Susulan penemuan mayat mangsa, SAR tersebut ditamatkan pada jam 11.35 pagi tadi.

Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kampung Meranek untuk proses pengecaman sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. ā€” DayakDaily