Oleh Dean Adam
KUCHING, Jun 14: Seorang lelaki ditemui mati dengan mayatnya hampir reput di sebuah bilik sewa di Bandar Baru MJC, Batu Kawa, di sini.
Mangsa yang berusia 56 tahun tersebut ditemui mati oleh pemilik bilik sewa berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Merbin Lisa, berkata sejurus menerima maklumat berhubung penemuan mayat lelaki itu, sepasukan anggota polis kemudian ke lokasi untuk melakukan siasatan.
Jelasnya, siasatan awal mendapati mayat mangsa sudah hampir reput dan dalam keadaan tidak berpakaian.
“Siasatan seterusnya mendapati mangsa menyewa di bilik itu seorang diri. Tiada sebarang unsur jenayah ditemui di dalam bilik sewa berkenaan dan tiada kesan kecederaan pada anggota badan mangsa,” katanya di sini hari ini.
Merbin menambah, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.
“Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. — DayakDaily