BELAGA, Feb 20: Para pekerja di sebuah ladang kelapa sawit dekat sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai dibunuh susulan penemuan kesan tetakan pada leher dan punggung mangsa di kawasan ladang tersebut, semalam.
Mayat lelaki dipercayai warga Indonesia itu ditemui oleh penolong pengurus ladang serta beberapa pekerja di situ pada kira-kira pukul 9.30 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Asp Mohd. Sani Junid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa daripada penolong pengurus Ladang Penyuan 2 Estate di situ semalam.
Jelas beliau, sejurus menerima maklumat itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Belaga bergegas ke lokasi kejadian.
“Perjalanan menggunakan kenderaan polis dijangka mengambil masa kira-kira empat jam ke lokasi penemuan mangsa.
“Ketika ini belum ada tangkapan dilakukan dan polis masih menyiasat motif kejadian dan siapakah suspek yang terlibat dalam jenayah itu.
“Kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya. — DayakDaily