PAKAN, 22 Okt: Penduduk di Pakan diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan agenda politik sesetengah pihak yang hanya memperjuangkan kepentingan peribadi atau parti tertentu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, rakyat seharus faham bahawa politik bukannya bersifat peribadi sebaliknya ia melibatkan kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita akan berpilihan raya tidak lama lagi. Pastinya banyak pihak akan menyatakan pandangan yang berbeza, tidak kurang memutar belitkan fakta sehingga menyebabkan rakyat berpecah.
Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk membantah tindakan atau apa yang kerajaan lakukan namun ia perlu kena pada cara menerusi saluran yang betul agar dapat membawa kebaikan kepada rakyat.
Ujarnya agenda politik bersifat peribadi atau kepartian tidak akan memberikan manfaat kepada rakyat terutama ketika negara berdepan dengan krisis sama ada ekonomi atau keselamatan.
Semua pihak tanpa mengira pangkat atau status sosial perlu bersatu padu agar dapat mewujudkan perpaduan khususnya ketika negara sedang berdepan dengan ancaman pandemik Covid-19 ketika ini.
“Peranan rakyat walaupun sekecil mengamalkan norma mengamalkan norma kehidupan baharu akan memberi impak besar dalam usaha mengawal penularan wabak tersebut,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sepakat@komuniti Jabatan Penerangan Daerah Pakan di Rumah Morris, Nyalak Ili Pakan, malam tadi.
“Saya berharap maklumat yang dikongsikan oleh pegawai-pegawai penerangan kepada anda semua akan dijadikan panduan dan pegangan menjalani norma baharu kehidupan seharian ” katanya. –DayakDaily