Mawan: 40 projek RTP dengan kos RM5 juta di DUN Pakan

Mawan (depan, baju putih) semasa tinjauan kerja penyelengaraan jalan menuju ke Ulu Kota.

KUCHING, Jun 11: Sebanyak 40 buah projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) dengan kos sebanyak RM5 juta telah diluluskan pada tahun 2020.

ADUN Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata, komponen projek-projek ini adalah seperti jalan, bangunan, jambatan, benteng, merata tapak rumah panjang dan lain-lain.

“Projek RTP ini telah berjaya memberi manfaat dan keselesaan kepada penduduk rumah panjang dan sekolah di kawasan Pakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Jelas Mawan lagi, dari segi pelaksanaan, setiap tahun kawasan DUN Pakan sentiasa mendahului kawasan DUN lain di Bahagian Sarikei.

Pada tahun ini katanya, sebanyak lapan projek dulu akan dicabut undi pada 15 Jun 2020 untuk mengetahui kontraktor yang akan melaksanakan projek tersebut.

Beliau menambah, baki projek lain akan dicabut undi dalam masa terdekat selepas penyediaan BQ selesai dilakukan oleh pihak Agensi Teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan Dan Saliran dan Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).

Mawan baru-baru ini telah membuat tinjauan kerja penyelengaraan jalan menuju ke Ulu Kota.

Menurut Mawan lagi, projek RTP adalah merupakan cetusan idea mantan Ketua Menteri Pehin Sri Adenan Satem yang telah bermula dilaksanakan pada tahun 2015.

“Fokus utama RTP ialah kawasan luar bandar yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur seperti jalan, jambatan, benteng, tapak rumah panjang baharu, bangunan dan sebagainya,” menurut Mawan.

Katanya lagi, peruntukan untuk projek RTP adalah berupa projek yang melibatkan kos RM5 juta bagi setiap ADUN setahun dan bukanlah dalam bentuk wang tunai yang disalurkan terus kepada ADUN kawasan seperti mana yang selalu dicanangkan oleh sesetengah pihak sebelum ini.

Ujar beliau, setiap tahun ADUN kawasan akan menghantar senarai cadangan projek kepada Residen Bahagian untuk tujuan kompil dan kelulusan EPU Sarawak.

Tambah Mawan, seperti kawasan ADUN lain di Sarawak, DUN Pakan juga tidak pernah ditinggalkan dalam arus pembangunan melalui RTP dan selain daripada RTP, DUN Pakan juga turut menikmati pembangunan melalui pelbagai agensi kerajaan yang lain seperti Projek Rakyat dan sebagainya.

“Kita di peringkat pemimpin dan rakyat amat menyanjungi Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Tun Abang Tun Openg kerana meneruskan usaha Tok Nan (Adenan) dan meneruskan Projek RTP dalam mencapai matlamat mendekatkan jurang pembangunan di antara kawasan luarbandar dan bandar,” tegas Mawan lagi. — DayakDaily