Mat Sabu ‘kempunan’ masuk ke Sarawak

Mat Sabu dihalang masuk ke Sarawak.

KUCHING, April 4: Hasrat Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu untuk memasuki Sarawak tidak kesampaian apabila dia dihalang masuk ke negeri ini, hari ini.

Sebaik melalui pemeriksaan di kaunter Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dihalang masuk ke Sarawak.

Pesawat yang dinaiki Mat Sabu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada pukul 9.30 pagi dari Kuala Lumpur.

Setiausaha politiknya, Mohd Azhar Mat Dali dalam satu kenyataan akhbar hari berkata, presiden Amanah itu dijadualkan menghadiri mesyuarat parti berkenaan di bandar raya Kuching.

Namun ujarnya, Mat Sabu dihalang untuk memasuki Sarawak semasa melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen.

“Minggu lalu, beliau (Mat Sabu) dibenarkan masuk ke Sarawak ketika menghadiri satu mesyuarat di Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Mac 22, 2016, Mat Sabu juga pernah dihalang memasuki Sarawak ketika kempen Pilihan Raya Negeri Ke-11. — DayakDaily