Masyarakat luar bandar tidak dipinggirkan — Penguang

Penguang (depan, tengah) menyampaikan peruntukan MRP kepada penerima di Lapok.

LAPOK, April 15: Masyarakat luar bandar tidak pernah dipinggirkan kerana mereka merupakan pendokong kepada kerajaan selama ini.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil berkata, keprihatinan kerajaan kepada golongan itu juga jelas ditunjukkan menerusi peruntukan lebih kepada pembangunan di kawasan luar bandar.

Katanya, tidak mungkin penduduk di kawasan luar bandar dipinggirkan dari segi pembangunan selagi mereka memberikan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).


“Masyarajat luar bandar akan menerima pelbagai faedah pembangunan dan kemajuan hasil dari sokongan tersebut.

“Penduduk tempatan juga akan menerima banyak faedah dalam usaha-usaha ekonomi serta perkhidmatan selagi kerajaan BN kekal memerintah,” katanya dalam Program Kesedaran Masyarakat anjuran Persatuan Berawan Sarawak di Dewan Anthony, Pekan Lapok di sini hari ini.

Program yang bermula seawal pukul 7 pagi diadakan dengan pelbagai aktiviti seperti saringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan, ceramah kesedaran bahaya dadah dan penyakit berjangkit, dan ceramah kesedaran sosial.

Pada majlis tersebut juga, beliau telah mengumumkan peruntukan MRP kepada’Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Henry Kassim Wen, Long Jegan (RM30,000), JKKK Joslee Teging, Long Teran Batu (RM15,000); JKKK John Mato, Long Tuyut (RM15,000); JKKK Androus, Long Takong (RM15,000); serta projek RTP 2018 Menaiktaraf Jalan dan Parking Rumah Penghulu Patrick Jelaman (RM100,000) dan Menaiktaraf Jalan dan Parking Rumah Francis Ubi, Long Jegan (RM100,000).

Dalam pada itu, Penguang menambah, ketika ini beliau tertumpu kepada pembangunan agar kawasan luar bandar tidak tersisih.

Katanya, penduduk luar bandar juga menikmati kemajuan serta pembangunan yang sama rata dengan masyarakat di bandar.

“Rakyat luar bandar perlu bersabar kerana setiap perancangan yang sedang dirancang atau giat dijalankan adalah untuk manfaat pada masa depan,” ujarnya lagi. — DayakDaily