Masyarakat Cina digalak memohon program bantuan kerajaan PH

Willie Mongin

SERIAN, 7 Jun: Masyarakat Cina di kawasan Tapah dalam Parlimen Puncak Borneo diminta tidak ketinggalan memohon pelbagai program bantuan yang disediakan kerajaan pusat Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin, berkata program bantuan itu kini boleh dipohon dari Pusat Khidmatnya; yang antaranya bantuan kes kematian kepada keluarga kurang berkemampuan, bantuan pesakit kronik dan bantuan kepada anak yang melanjutkan pendidikan peringkat ijazah dan diploma secara “one off”.

“Kita juga ada program bantuan yang lain yang boleh membantu masyarakat di sini (Tapah). Saya berharap kita akan terus bekerjasama dan terus membantu antara satu sama lain,” katanya ketika menghadiri majlis keramian satu tokong di kawasan Tapah, di sini, hari ini.

Wilie, di majlis itu juga, mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada tokong terbabit bagi menjalankan aktivitinya.

“Saya juga ingin memberi setinggi terima kasih kepada masyarakat Tionghua di Tapah ini kerana mereka tidak pernah mengecewakan kita,” katanya.

Beliau mendedahkan masyakat kawasan itu tetap memberi sokongan penuh kepadanya ketika Pakatan masih menjadi pembangkang sebelum ini dan sehubungan itu, beliau berazam untuk memastikan mereka tidak terpinggir dari arus pembangunan dibawah kerajaan pusat Pakatan ke Parlimen Puncak Borneo. — DayakDaily