BINTULU, Feb 19: Tindakan seorang penunggang motosikal yang tiba-tiba membelok masuk ke simpang tanpa memberi isyarat mengundang padah apabila dia maut dirempuh sebuah kereta di Batu 28, Jalan Bintulu-Miri di sini lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, mangsa, Bunsu Rimong, 69, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Honda Wave dikatakan tiba-tiba memasuki simpang tanpa memberi isyarat sebelum dilanggar oleh Proton Ertiga.
Katanya, Proton Ertiga yang dipandu seorang guru bersama isteri dan seorang anak mereka itu dikatakan sedang dalam perjalanan ke arah Miri dari Bintulu.
“Pemandu yang berusia 35 tahun tersebut dikatakan tidak sempat memberhentikan kenderaannya kerana mangsa secara tiba-tiba memasuki simpang kanan tanpa ada sebarang isyarat.
“Rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah pada kepalanya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, ketiga-tiga beranak yang dalam Proton Ertiga itu pula hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily