Masing gesa PN untuk tidak ambil bahagian dalam PRN12

Masing(enam dari kiri) bersama wakil-wakil dari Pusat Ketua Masyarakat Iban Sri Aman yang merupakan penerima geran.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, MAC 11: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing gesa parti-parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk tidak mengambil bahagian dalam Pilihanraya Negeri Ke-12 (PRN12).

“Saya harap PN tidak berminat pada PRN12 dan saya berpendapat kita tidak seharusnya berlawan sesama sendiri.


“Kita (Gabungan Parti Sarawak) dan PN adalah sama dalam satu rumah panjang. Lawan kita adalah DAP dan PKR,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Terdahulu Masing menyempurnakan Majlis Penyerahan Geran MRP Fasa 1 DUN Baleh di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur.

Sabtu lepas, Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memaklumkan Sarawak bersetuju untuk menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan membentuk Kerajaan PN plus GPS.

Dengan tertubuhnya PN plus GPS, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik 4 Menteri penuh dan 5 timbalan menteri dari kalangan ahli parlimen GPS pada Isnin lepas.

Gabungan PN dianggotai parti BN, Bersatu, PAS dan Warisan.

Pada majlis yang diadakan itu, sejumlah RM336,000 geran diagihkan kepada 35 penerima yang terdiri daripada JKKK, kelab, persatuan, biro wanita dan PIBG.—DayakDaily