Masih terlalu awal untuk Kuching FA tekan butang panik

Penyerang Kuching FA, Hudson Dias (kiri) cuba merebut bola dari pertahanan Terengganu II, Dechi Marcel dalam aksi Liga Premier 2020 di Stadium Sarawak, Petra Jaya malam tadi (Mac 10, 2020).
Advertisement

Oleh Muhammad Akmal Rizki

KUCHING, Mac 11: Ketua Jurulatih Kuching FA, Akira Higashiyama menegaskan masih terlalu awal untuknya menekan butang panik susulan tiga kekalahan berturut-turut pasukannya dalam kempen Liga Premier 2020.

Menurut Akira, musim masih panjang namun akui perlu segera memperbaiki prestasi pasukannya selepas ini.

Advertisement

“Kita juga tidak perlu panik kerana musim masih panjang. Kita tewas tiga kali. Namun kita perlu fokus dengan perlawanan seterusnya.

“Inilah bola sepak, ia berlaku kepada kita namun kita perlu melihatnya dengan positif dan memperbaikinya selepas ini,” komen beliau ketika ditemui selepas perlawanan tamat.

Dalam perlawanan malam tadi, Kuching FA ketinggalan seawal minit kelima hasil jaringan penyerang Penyu, Engku Muhammad Nur Syakir Engku Yacob.

Penyerang import Kuching FA dari Brazil, Hudson De Jesus meletakkan kedudukan seimbang dengan merembat masuk gol penyamaan pada minit ke-28.

Kuching FA hampir di depan pada minit ke-54 namun percubaan jarak jauh Yuta Suzuki sedikit melewati palang gol lawan.

Minit ke-63, giliran Terengganu II mengancam gawang Kuching FA menerusi tandukan Bruno Junichi Suzuki namun berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Mohd Iqbal Mohd Suhimi.

Penjaga gol Terengganu II, Mohd Suhaimi Husin berjaya mematahkan percubaan leret Hudson pada minit ke-72 selepas melakukan larian solo.

Ketika perlawanan seakan berkesudahan seri, pertahanan import Terangganu II, Argzim Redzovic menjadi duri dalam daging Kuching FA dengan menolak masuk gol kemenangan pada minit ke-90. — DayakDaily

Advertisement