KUCHING, 2 Okt: Adun Dudong Dato Sri Tiong King Sing komited menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar dan guru SK Sungai Naman di Sibu.
Katanya, isu baikpulih jalan dan jaringan komunikasi yang diperlukan akan diberi perhatian serius.
“Saya akan membangkitkan perkara tersebut ke pihak yang berkaitan seterusnya menyelesaikan segera permasalahan yang dihadapi.
“Pada masa sama, saya juga akan mengatur pemasangan penghawa dingin untuk pejabat guru dan pejabat guru besar, ” kata Tiong di Perasmian Karnival Sukan PIBG SK Sungai Naman baru-baru ini.
Di majlis itu, beliau yang juga MP Bintulu turut mengumumkan peruntukan RM30,000 bagi penambahbaikan kemudahan sekolah.
Menurut Tiong, SK Sungai Naman merupakan sebuah sekolah rendah luar bandar yang mempunyai seramai kira-kira 58 orang murid termasuk di peringkat prasekolah.
Katanya, para pelajar di sekolah tersebut kebanyakannya terdiri daripada penduduk rumah panjang di kawasan pedalaman Sungai Naman.
“Walaupun lokasi yang jauh di pedalaman bukanlah penghalang kepada para pelajar ini menuntut ilmu demi mengejar impian masing-masing.
“Kerajaan Sarawak tidak pernah melupakan hak dan kepentingan murid di sini bagi mendapatkan akses pendidikan,” ujarnya.
Tiong memuji usaha pihak PIBG SK Sungai Naman yang giat bekerjasama dengan pihak pengurusan sekolah serta aktif menganjurkan pelbagai aktiviti selama ini wajar dipuji dan dicontohi. — DayakDaily