170 pelajar dari DUN Tarat terima insentif pendidikan

Penerima insentif pendidikan DUN Tarat. Foto: UKAS

KUCHING, 2 Okt: Seramai 170 pelajar dari sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat menerima insentif pendidikan sejumlah RM25,680 atas kecemerlangan yang telah dicapai dalam bidang akademik.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pemberian insentif tersebut merupakan hasil daripada inisiatif Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap ADUN Tarat Datuk Roland Sagah Wee Inn.

“Insentif ini adalah untuk memberi galakan kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam akademik.


“Ia juga memberi kesedaran kepada ibu bapa dan penjaga untuk menitik beratkan pencapaian pendidikan anak masing-masing,” kata Sagah semasa penyampaian Insentif di Dewan Parish St Matthew Mundai di Siburan pada Sabtu.

Pemberian insentif kali ini melibatkan tiga buah sekolah menengah iaitu SMK Tarat, SMK Padawan dan SMK Tun Abdul Razak serta 27 buah sekolah rendah melibatkan tiga pelajar terbaik Tahun Enam bagi setiap sekolah rendah itu.

Ia merangkumi 81 penerima untuk pelajar Terbaik Tahun Enam, 28 penerima untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 54 penerima untuk Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta 7 penerima untuk Diploma.

Sagah turut menyeru kepada ibu bapa agar mengambil berat tentang pendidikan anak-anak khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). — DayakDaily