KOTA SAMARAHAN, April 8: Masalah bekalan air yang mula dihadapi penduduk kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan akibat cuaca panas berlarutan setakat ini masih dalam keadaan terkawal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris berkata, namun sebagai wakil rakyat kawasan itu, beliau sudah membuat persiapan bagi menghantar lori membawa air ke kampung terbabit sekiranya memerlukan.
“Keadaan (masalah bekalan air) di Simunjan masih terkawal. Kalau cuaca panas berlarutan satu ada dua minggu lagi memang akan berlaku kemarau (di Simunjan). Buat masa sekarang kita bersiap sedia menghantar air mengunakan lori (ke kampung ada masalah bekalan air),” katanya ketika mengadakan sidang media mengenai Pesta Simunjan 2019 di Pejabat Residen Bahagian Samarahan di sini, hari ini.
Awla berkata satu lori tersebut bagaimanapun dapat mengisi dua atau tiga tangki air 1Malaysia bersaiz besar milik satu atau dua keluarga sahaja dan bukan semua penduduk kampung dan berharap mereka dapat berkongsi sebaiknya bekalan air.
“Manakala bagi kampung masih bergantung kepada air hujan dan air graviti bukit yang menghadapi masalah bekalan air tetapi tidak dapat dihubungi melalui jalan darat dan terpaksa melalui sungai, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menghantar bekalan air botol kepada mereka mengunakan bot,” katanya.
Awla berkata kebiasaanya bekalan air botol dari JKM adalah sebanyak tiga hingga empat kotak bagi kegunaan seorang penduduk kampung dan ini adalah bagi kegunaan mereka dalam tempoh seminggu.
Katanya setakat ini di DUN Simunjan masalah bekalan air yang berkurangan akibat cuaca panas berlarutan hanya ada berlaku di Kampung Temiang dan Kampung Empelas manakala yang lain di luar kawasan itu.
“Manakala seminggu lepas di DUN Simunjan masalah bekalan air di Tanjung Kelaso dan Sungai Puting berjaya diatasi dengan memasang pam ‘booster’ di Sadong Jaya bagi membekalkan air paip bersih kepada penduduk dua kawasan itu,” katanya.
Sementara itu di sidang media itu, beliau berharap cuaca panas berlarutan yang boleh mengakibatkan kemarau di Simunjan tidak berlarutan sehingga Pesta Simunjan 2019 pada September depan.
Pesta itu yang akan berlangsung dari Sept 6 hingga 8 di Tebingan Batang Sadong disasarkan menerima seramai 100,000 pengunjung berikutan perhubungan jalan raya yang semakin baik dari kawasan sekitar ke pekan Simunjan.
“Kalau dari Samarahan ke Simunjan, perjalanan mengambil masa sekitar satu jam sahaja; dari Sebuyau juga sekitar satu jam, dari Serian sekitar 30 minit, dari Gedong sekitar 20 minit dan dari Asajaya sekitar 40 minit,” katanya.
Awla menambah, pihaknya juga bercadang mempelawa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menjadi tetamu kehormat merasmikan pesta terbabit yang akan bertema “Sehati Sejiwa”.
Selain itu, beliau juga mempelawa orang ramai untuk menyertai acara pesta itu yang akan dibuka sebulan sebelum pesta bermula termasuk Regatta Batang Samarahan, Ratu Pesta Simunjan, pertandingan nopeng, gendang dan lagu Melayu asli, sukan rakyat, pertandingan poco-poco dan banyak lagi.
Katanya satu acara istimewa pesta tahun ini ialah jambori bagi penunggang motosikal berkuasa tinggi di pekan Simunjan dengan pesertanya dijangkakan datang bukan sahaja dari seluruh Sarawak tetapi juga dari Brunei dan Indonesia. — DayakDaily