KUCHING, April 24: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk meneroka penyelesaian jangka pendek dalam menangani masalah banjir di Kuching selain melaksanakan projek tebatan banjir yang berterusan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini termasuk merangka sistem pengurusan air hujan untuk memastikan agar ia tidak akan bertakung di kawasan tertentu.
“Melalui sistem ini, air akan mengalir terus ke bawah tanah atau kolam buatan untuk menyimpan air,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak di Bandar Baru Batu Kawah (MJC) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dr Sim Kui Hian.
Selain itu, Abang Johari juga menyatakan bahawa kerajaan negeri akan mengkaji perancangan bandar, bagi memetakan sistem saliran yang baik untuk mengatasi masalah banjir.
“Kita tidak mahu membina bangunan di tempat yang menjejaskan sistem saliran kerana ini akan menyebabkan banjir,” katanya.
Sehubungan itu, katanya Unit Perancang Negeri (SPA) kini bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memetakan sistem perparitan utama Kuching bagi memastikan pembangunan bandar ini dapat dirancang dengan betul.
“Ini adalah satu perkembangan besar dan kita bernasib baik kerana mempunyai usaha sama dengan kerajaan persekutuan di dalam perkara ini,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari juga meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membangunkan Tebingan Sungai Batu Kawah seperti yang dicadangkan oleh Dr Sim, yang juga ADUN Batu Kawah.
Beliau berkata dengan adanya tebingan tersebut, ia akan menjadi tempat rekreasi bagi penduduk di kawasan itu untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat. — DayakDaily