Oleh Chris Bishop
KUCHING, 8 Dis: Dengan kepelbagaian sumber asli yang ada, masa depan Sarawak adalah sangat cerah, tegas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, Sarawak kini hanya memerlukan anak tempatan yang memiliki kepakaran dan pengetahuan untuk memanfaatkan sumber asli yang ada.
“Kita boleh mentransformasikan Sarawak dengan semua sumber yang ada.
“Kita bercakap perihal hidrogen satu sahaja, seluruh negara bertanya tentang hidrogen.
“Ini bukan saya mahu angkat sendiri,” kata Abang Johari di Perasmian Persidangan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di sini hari ini.
Baru-baru ini tambah Abang Johari, Perdana Menteri Azerbaijan menghantar perutusan menyatakan bahawa Sarawak adalah peneraju dalam bidang tenaga diperbaharui di rantau ini.
“Ini adalah penyelesaian kepada masalahperubahan iklim,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari terus menegaskan bahawa tiada siapa yang boleh menyentuh dana berdaulat untuk 20 tahun yang akan datang termasuk kerajaan yang memerintah pada masa hadapan.
“Dana kedaulatan kita hanya akan dilapor di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan kepada saya.
“Laporan yang telus akan disediakan supaya orang ramai tahu bagaimana kami menguruskan dana untuk masa depan.
“Dengan kata lain, kami telah menyusun ekonomi kita bukan hanya untuk sekarang, tetapi juga untuk masa depan, termasuk untuk generasi muda,” jelasnya. — DayakDaily