Masa depan belia 1828 cerah – Abang Johari

Abang Johari pada Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-15 Parti Pesaka Bumiputera (PBB) di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 18 Jun: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyediakan masa depan yang cerah kepada golongan belia, kata Presidennya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau yang juga Premier Sarawak, penubuhan dana berdaulat yang mengambil contoh kejayaan negara Norway adalah untuk golongan tersebut.


“PBB mengalu-alukan sayap belia 1828, iaitu ‘Pergerakan Belia’ untuk mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun.

“Kita tubuhkan dana kedaulatan untuk golongan belia ini termasuk kepada mereka yang belum lagi lahir.

“Ini adalah untuk masa depan mereka dan biarlah kita bekerja hari ini. Itulah sebab kita tidak takut bila parlimen meluluskan Undi 18 , kita tahu golongan belia berusia 18 tahun bersama kita kerana kita prihatin terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tritahunan Ke-15 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, penubuhan dana berdaulat itu adalah berdasarkan lebihan pendapatan negeri daripada sumber sedia ada.

Katanya, Norway mewujudkan dana tersebut pada tahun 1976 di mana sekarang ia sudah mencecah USD1.3 trillion.

“Pada tahun lepas ia(dana Norway) mencatat keuntungan USD1.4 billion tetapi kerajaan Norway hanya mengeluarkan 4 peratus sahaja untuk kegunaan, selebihnya disimpan dan Norway adalah negara terkaya di Eropah.

“Kita cari dana daripada sumber yang ada, di mana kita tambah nilai kepada sumber ini dan bangunkan seluruh Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, PBB akan meminda perlembagaan parti pada perhimpunan hari ini bagi mewujudkan sayap 1828, buat golongan belia berumur antara 18 hingga 28 tahun.

Hadir sama Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Joseph Salang Gandum, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Dato Sri Tiong King Sing. — DayakDaily