Maritim Bintulu selamatkan 2 nelayan Filipina yang hanyut 15 hari

Kelihatan dua nelayan Filipina (berdiri dua dari kiri) diselamatkan Maritim Bintulu.

KUCHING, Mac 2: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Bintulu hari ini menyelamatkan dua nelayan Filipina dipercayai telah hanyut di laut selama 15 hari.

Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah, dua orang mangsa tersebut telah diselamatkan oleh sebuah kapal yang bertugas di kawasan pelantar minyak pada kedudukan 140 batu nautika daripada Bintulu.

“Zon Maritim Bintulu menerima maklumat daripada pihak Petronas berkaitan sebuah bot nelayan bersama dua nelayan hanyut di laut pada 20 Februari 2020.

“Kejadian tersebut disyaki berpunca apabila bot yang dinaiki oleh mereka telah mengalami kerosakan pada bahagian enjin,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambah Shahref, kedua-dua mangsa merupakan lelaki berusia 24 dan 40 tahun.

Kesemua mangsa dipercayai berasal dari kepulauan Palawan Filipina dan selamat tiba di Pelabuhan Bintulu hari ini pada jam lebih kurang 9.30 pagi.

Ekoran penemuan itu, Shahref berkata kedutaan Filipina telah dimaklumkan. — DayakDaily