‘Manifesto BN PRU14 beri tumpuan mensejahterakan rakyat’

Fazzrudin (depan, empat dari kanan) ketika mengambil gambar dengan ribuan peserta 'Program Jelajah Milenia Negeri Sarawak' di Plaza Merdeka, Kuching.

KUCHING, April 8: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman hari ini menyifatkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bersifat inklusif dalam usaha kerajaan mensejahterakan rakyat.

Menurutnya, Manifesto BN PRU14 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jelas membuktikan kerajaan terus komited mensejahterakan rakyat.

“Antara komitmen untuk mensejahterakan rakyat ialah dengan menaikkan bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).


“Selain itu, satu kategori baharu dalam BR1M turut diperkenalkan dalam membantu meringankan beban rakyat,” katanya ketika ditemui selepas program Jelajah Milenia di sini, hari ini.

Berikut merupakan pengumuman tentang BR1M yang diumumkan oleh Najib:

Pertama bagi isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, pemberian BR1M pada bulan Jun dan Ogos 2018 yang masing-masing berjumlah RM400 akan digandakan kepada RM800.

Ini bermakna, jumlah keseluruhan pemberian BR1M pada tahun ini meningkat daripada RM1,200 kepada RM2,000.

Kedua, bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000, pemberian BR1M pada bulan Jun dan Ogos 2018 yang masing-masing berjumlah RM300 akan digandakan kepada RM600.

Ini bermakna, jumlah keseluruhan pemberian BR1M pada tahun ini meningkat daripada RM900 kepada RM1,500.

Bagi individu bujang yang berpendapatan RM2,000 ke bawah, yang bujang dan mengaku bujang ini, maka BR1M pada mereka yang telah dibayar RM450 pada bulan Februari, akan ditambah RM150 lagi, bererti bahawa RM600 semua sekali daripada RM450.

Satu lagi kategori baru BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.

Golongan ini akan dapat BR1M berjumlah RM700, akan dibayar dua kali RM350 masing-masing pada bulan Jun dan Ogos 2018.

Bantuan sekali gus atau ‘one-off’ sebanyak RM1,500 juga diberikan untuk anak-anak penerima BR1M yang berjaya berdaftar di pusat pengajian tinggi. — DayakDaily