This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 2 Sep: Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil menggesa mangsa scam menghubungi talian NSRC – 997 yang beroperasi setiap hari untuk membuat laporan terhadap jenayah terbabit
Katanya, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (National Scam Response Centre – NSRC) sebagai pusat panggilan yang menerima laporan.
“Ia juga membantu menyekat pengaliran wang mangsa,” katanya dalam ucapan aluan di Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Auditorium Muzeum Budaya Borneo hari ini.
Majlis telah dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 telah bermula pada 18 Februari lepas di negeri Selangor dan Kuala Lumpur serta pada 20 Mei 2023 di negeri Perlis.
Selain Sarawak, program ini akan turut diadakan di Kelantan, Sabah, Johor dan dijangka berakhir di Putrajaya.
Menerusi platform ini tambah Fahmi, ahli-ahli panel akan berkongsi maklumat berkaitan senario atau landskap keselamatan siber semasa.
“Memandangkan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa scam, maka program ini menyasarkan kepada semua pengguna Internet di Malaysia.
“Ini meliputi golongan remaja, belia, ibu bapa, kakitangan awam dan swasta, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya,” kata Fahmi. — DayakDaily