Mangsa lemas di Pantai Peliau Bekenu ditemukan pagi tadi

Mayat mangsa lemas di Pantai Peliau Bekenu ditemukan pagi tadi.

MIRI, 7 Mei: Aktiviti mandi manda empat sahabat di Pantai Peliau, Bekenu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dilaporkan hilang dibawa arus pada petang Sabtu.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 6 Miri, mayat mangsa telah ditemui pagi Ahad (7 Mei) sekitar jam 9 pagi di persisir pantai pada jarak 20 meter dari lokasi kejadian.

Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


Pada Sabtu, mangsa, umur 17, bersama tiga rakan sebayanya mandi di tepi pantai, sebelum mangsa ditarik alur deras ombak air laut.

Dua orang remaja lain berjaya menyelamatkan diri dan seorang lagi remaja berjaya diselamatkan oleh orang kampung.

Operasi mencari dan menyelamat telah diaktifkan selepas pihak Bomba dimaklumkan kejadian pada jam 7.59 petang semalam (Sabtu). — DayakDaily