Mangsa hilang dilibas tali kapal ditemui mati

Mayat mangsa dijumpai di tebing sungai.

KUCHING, 9 Feb: Seorang lelaki warga Myanmar yang dikhuatiri hilang di pelabuhan Hock Seng Lee Wah pada Rabu lalu ditemui mati.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa dijumpai di tebing sungai kira-kira jam 11.45 pagi, hari ini.

Katanya, lokasi mayat mangsa dijumpai adalah kira-kira 1.8 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.


“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa hari kedua hari ini ditamatkan pada jam 1.30 petang.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Rabu lepas apabila mangsa bersama dia lagi rakan sekerjanya sedang mengikat tali tongkang.

Difahamkan ketiga-tiga pekerja terbabit dilibas tali kapal tongkang menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai.

Manakala dua lagi rakan sekerjanya turut mengalami kecederaan iaitu seorang mangsa mengalami patah kaki dan seorang lagi hanya mengalami kecederaan ringan. — DayakDaily