Mangsa bot karam diselamatkan

Mangsa (tengah) ditemui dalam keadaan selamat.

BINTULU, Jan 19: Maritim Malaysia Daerah Bintulu telah menyelamatkan seorang mangsa yang dihanyutkan bersama botnya yang telah mengalami kerosakan sebelum karam di Muara Batang Kemena kira-kira pukul 10.35 malam tadi.

Pengarah Maritim Daerah Bintulu (DM12), Komander Maritim, Mohd Hambali Yaā€™akup berkata, Pusat Operasi Maritim Malaysia Bintulu (DM12) telah menerima panggilan kecemasan daripada pengadu iaitu Jasmin Julaihi kira-kira pukul 9.00 malam yang memaklumkan kejadian.

“Anggota DM12 setelah menerima aduan kecemasan telah menghubungi mangsa, Sofiyan Meran, 36, untuk mengetahui keadaan dan kedudukan dia berada.


“Bagaimanapun, mangsa menyatakan dia telah diselamatkan oleh anak kapal Atlas Avior yang bersauh kira-kira 1 batu nautika dari Muara Batang Kemena,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hambali menambah, bertindak atas laporan tersebut, beliau telah menggerakkan sebuah aset iaitu kapal Kilat 44 yang diketuai oleh Leftenan Madya Maritim Mohamad Hasni Lizarus bersama empat anggota ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik sampai ke lokasi, pasukan DM12 mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Jepak di sini untuk tindakan susulan.

“Pada masa sama, saya menyeru kepada semua komuniti maritim khususnya di Bintulu agar lebih berwaspada dan tidak mengabaikan aspek-aspek keselamatan sebelum turun ke laut dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini,” katanya lagi. ā€” DayakDaily