Lelaki maut selepas motosikal terbabas lalu rempuh Isuzu D-Max

Keadaan kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal dan Isuzu D-Max.

MIRI, Jan 19: Seorang penunggang motosikal menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di KM62 Jalan Pesisir Pantai Miri di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu mengakibatkan, mangsa, Nasir Abidin, 38, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah pada badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Bintulu ke Miri.


Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggangnya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan motosikal mangsa bertembung dengan sebuah Isuzu D-Max yang kebetulan bergerak di laluan tersebut.

“Impak pelanggaran kuat telah menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu Isuzu D-Max pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily